KUALA LUMPUR – Jumlah mangsa banjir di Selangor dan Perak terus meningkat dengan mencatatkan 1,108 mangsa yang ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 9 pagi ini.
Di SELANGOR, jumlah mangsa banjir telah meningkat iaitu sebanyak 768 orang daripada 196 keluarga, berbanding 722 orang daripada 184 keluarga yang mana melibatkan mangsa banjir dari daerah Hulu Langat, Sepang, Petaling, serta Kuala Langat dan sedang berlindung di sembilan PPS yang telah disediakan.
Seterusnya, laman web Public Infobanjir melaporkan Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat telah melepasi paras bahaya, namun dengan trend air menurun, manakala Sungai Bernam di Jambatan SKC, Hulu Selangor pula telah melepasi paras pada tahap berjaga-jaga dengan trend air meningkat.
Sementara itu di PERAK, sejumlah 340 mangsa banjir daripada 99 keluarga kini ditempatkan di empat PPS, dan bilangan mangsa meningkat berbanding 310 orang daripada 91 keluarga pada sebelah malam.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak dalam kenyataan memaklumkan 186 mangsa adalah dari daerah Hilir Perak, manakala 154 lagi dari daerah Kerian.
Jabatan Pengairan dan Saliran melaporkan paras Sungai Bidor di Changkat Jong masih pada tahap bahaya iaitu dengan kedalaman setinggi 4.18 meter (m), manakala dua lagi sungai berada pada paras berjaga-jaga iaitu Sungai Kinta di Weir Tanjung Tualang dengan kedalaman setinggi 13.66 meter dan Sungai Slim di Slim River dengan kedalaman setinggi 25.11 meter.
Jabatan Kerja Raya Perak pula memaklumkan bahawa laluan FT 147 Jalan Selama di Kerian masih ditutup kepada semua kenderaan akibat tanah runtuh dan berikutan itu, laluan A111 Jalan Pintasan Alor Pongsu-Bukit Merah dijadikan jalan alternatif.
Sumber: BERNAMA
