KUALA LUMPUR – Malaysia sentiasa konsisten dalam memperjuang hal setiap rakyat Palestin termasuk mendesak supaya negara itu diterima sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, penyertaan Palestin sebagai negara anggota penuh PBB merupakan langkah penting dalam mengiktiraf hak-hak asasi mereka dan memperjuang penyelesaian konflik yang melanda negara itu.
“Sebagai anggota penuh PBB, rakyat Palestin berupaya untuk menjadi pemegang taruh dalam proses pembuatan keputuan yang bakal mempengaruhi masa depan mereka.
“Demi keadilan dan kesejahteraan bagi rakyat Palestin, mari kita bersama-sama bersuara untuk mendesak agar hak mereka sebagai anggota penuh PBB dapat menjadi satu kenyataan,” menurutnya dalam sebuah hantaran di laman Facebook, pada Rabu.
Hantaran itu diiringi beberapa keping gambar yang menunjukkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menandatangani dan mengirim sekeping poskad khas kepada Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres.

Kandungan poskad itu antara lain menzahirkan hasrat rakyat Malaysia agar PBB menerima Palestin sebagai anggota penuh serta menuntut keganasan dan kezaliman terhadap warga Palestin oleh rejim Zionis dihentikan segera.

Fahmi, yang juga merupakan jurucakap Kerajaan Perpaduan, berkata penyertaan Palestin sebagai negara anggota penuh PBB akan membuka ruang kepada sumber daya dan perwakilan politik yang diperlukan di peringkat antarabangsa untuk memperjuang kepentingan penduduk wilayah itu secara efektif.
Beliau berkata, sokongan serta dorongan amat diperlukan untuk memajukan pembangunan sosial, budaya dan ekonomi di bumi keramat itu.
“Aspirasi dan impian warga’warga Palestin harus didengari dan dihormati di peringkat antarabangsa,” katanya.
Terdahulu, Anwar menerusi hantaran di laman Facebook miliknya telah mengajak seluruh rakyat untuk turut serta dalam kempen Pengiriman Poskad Khas Palestin Merdeka kepada Guterres sebagai satu mesej yang menzahirkan hasrat penduduk Malaysia supaya badan dunia itu menerima Palestin sebagai anggota penuhnya.
BACA Lagi: Anwar Mulakan ‘Kempen Poskad Khas Palestin Merdeka’ Untuk Dikirim Kepada Setiausaha Khas Agung PBB
Menurut Perdana Menteri, rakyat boleh berbuat demikian dengan membeli poskad itu mulai hari ini di semua pejabat pos atau menerusi laman sesawang rasmi Pos Malaysia Bhd.
Sumber: BERNAMA
