PETALING JAYA – Dalam ramai yang memuji usaha murni Alif Satar, 33, mengajak umat Islam mengimarahkan masjid melalui kempen #GengSubuhMacamJumaat, masih ada segelintir pihak kurang senang dengan inisiatif artis versatil itu.
Ada suara-suara mendakwa kempen yang digerakkan Alif sejak November lalu itu mendapat sambutan hanya disebabkan dirinya berstatus selebriti. (DISINI)
Kecaman tersebut dianggap hanyalah percubaan untuk menjatuhkannya dalam kempen mengajak semua umat Islam berbuat baik.
Bagaimanapun, Alif yang popular dengan lagu Lelaki Seperti Aku enggan mempedulikan soal pandangan negatif segelintir pihak terhadap kempen berkenaan.
“Saya tidak peduli langsung sebab tahu apa yang dibuat ini, iaitu ajak ramai-ramai (solat secara berjemaah di masjid)… Dua tiga orang ini saya tak kisah.
“Saya fikir apabila buat gerakan sebegitu, ramai yang ikut. Tidak ada kena mengena dengan kepentingan diri. Apa yang saya buat memang kerana Allah SWT,” katanya ditemui pada sesi tayangan khas filem baharu lakonannya berjudul Anak Perjanjian Syaitan 2 di TGV Encorp Strand Mall beberapa hari yang lalu.
Pada masa sama, Alif menyarankan umat Islam mendirikan solat subuh secara berjemaah di masjid berhampiran kawasan masing-masing.
“Jom ajak semua orang di sekeliling kita untuk bangun solat subuh secara berjemaah di masjid berhampiran masing-masing.
“Insya-Allah, saya boleh sertai di mana-mana masjid nanti,” ujarnya.
Baru-baru ini, ada pihak melayangkan komen negatif dan menganggap mereka yang menyertai kempen #GengSubuhMacamJumaat sekadar mahu bertemu selebriti.
Namun, ramai yang mempertahankan Alif kerana beranggapan kempen itu sebagai motivasi agar umat Islam menunaikan solat berjemaah di masjid.
Ianya kerana Alif Satar merupakan seorang artis dan pempengaruh dan memang adalah satu tugasnya untuk mempengaruh orang ramai, dan beliau menggunakan platformnya untuk mengajak semua berbuat kebaikan.
Pada 1 Januari lalu, kempen #GengSubuhMacamJumaat digerakkan Alif mendapat sambutan hangat apabila disertai kira-kira 3,000 jemaah.
Alif membintangi filem Anak Perjanjian Syaitan 2 arahan Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang bakal menemui penonton di pawagam pada 4 Januari 2024.
Turut menjayakan filem terbitan Grand Brilliance Studio itu adalah Eyka Farhana, Fasha Sandha, Azlan Komeng, Dian P Ramlee, Azizah Mahzan dan Shaharuddin Thamby.
IMPAK #GENGSUBUHMACAMJUMAAT
Impak Alif Satar dalam kempen beliau #GengSubuhMacamJumaat telah menampakkan hasil dalam menarik minat ramai orang untuk mula solat subuh berjemaah di masjid atau surau.
1 Januari yang lalu, Masjid Saidina Umar Al-Khattab telah dipenuhi oleh rakyat Malaysia yang ingin turut serta dalam kempen #GengSubuhMacamJumaat.
“Macam ni…hari-hari…confirm menang.” ujarnya dalam hantarannya di Instagram tempoh hari, merujuk kepada kemenangan akan berpihak pada umat Islam jika diteruskan amalan tersebut dan emoji yang digunakan melambangkan Palestin yang sudah sarat diserang dan perlukan bantuan doa dari kita.

