SHAH ALAM – Seorang pekerja di sebuah kedai aiskrim di Taman Sri Muda, Shah Alam, nyaris maut selepas diserang oleh seorang individu bertopeng dalam satu kejadian samun pada hari Isnin.
Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, kejadian berlaku sekitar jam 11.30 pagi ketika mangsa, seorang wanita tempatan berusia 21 tahun, sedang bekerja bersendirian di kedai tersebut.
“Ketika mangsa sedang bekerja dan menunggu rakannya untuk masuk bertugas, seorang suspek lelaki yang memakai pelitup muka serta membawa pisau pemotong kertas tiba-tiba datang menghampiri. Suspek bertindak ganas dengan menikam mangsa yang cuba mempertahankan dirinya,” katanya dalam satu kenyataan pada hari ini.
Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Shah Alam untuk mendapatkan rawatan lanjut. Mangsa mengalami kecederaan akibat tiga torehan dari tikaman tersebut, namun dibenarkan pulang kira-kira jam 1 pagi selepas rawatan.
Setakat ini, tiada kerugian dilaporkan sama ada kepada mangsa atau syarikat tempat dia bekerja. Wajah suspek berjaya dirakam melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
Pihak polis kini sedang giat menjalankan usaha untuk mengesan dan menahan suspek secepat mungkin. Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut diminta untuk menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Mohd Syer Aidid, di talian 013 6544996..
SUMBER : SINAR HARIAN

