KUALA LUMPUR – Pada hari ini, terdapat ramai pelancong luar negara yang suka berkongsi pengalaman mereka ketika melancong di Malaysia, terutamanya menerusi platform media sosial TikTok.
Baru-baru ini seorang pengguna TikTok yang dikenali sebagai Max (TikTok @dailymax1993) telah memuat naik salah satu video vlognya dan meraih pujian netizen apabila dia bersama orang-orang setempat saling membantu mengutip tin yang berterabur di atas jalan raya.
Menerusi video dikongsikan Max, dia sedang dalam perjalanan dari Kampung Baru ke Pasar Seni dengan menaiki LRT.
Semasa dia berjalan di sebuah lorong (pada minit ke 2:01), dia ternampak kejadian dimana sebuah guni yang di bawa seorang lelaki berumur terkoyak dan kesemua tin di dalamnya bertaburan di atas jalan raya.
Melihat kejadian itu, Max segera menyeberangi jalan raya untuk memberi bantuan. Dia mengutip sedikit demi sedikit tin-tin tersebut dan memasukkannya ke dalam bakul milik lelaki itu.
Tidak lama kemudian, orang awam yang berada di berhampiran turut datang memberikan bantuan. Kelihatan juga ada yang datang membawa penyapu untuk mengalihkan tin ke tepi jalan agar tidak menghalang laluan kereta, lantas memudahkan kerja-kerja pengutipan tin.
Netizen menghargai dan memuji semua yang terlibat dalam membantu mengutip tin-tin tersebut, terutamanya Max (pemilik video) yang kebetulan menjadi orang terawal melihat tin bertaburan dan menghulurkan bantuan.
Sejurus selesai memasukkan kesemua tin di dalam bakul, mereka meletakkan semula tin tersebut ke dalam guni. Kelihatan lubang pada guni tersebut agak besar dan agak mustahil untuk memasukkan semula kesemua tin yang terkeluar itu.
Namun, menurut Max beberapa orang telah pergi membeli beg di kedai serbaneka 7-eleven berhampiran untuk memuatkan kesemua tin-tin itu.
Sebelum bersurai, lelaki pengutip tin itu sempat mengucapkan terima kasih kepada mereka yang membantu. Kemudian, Max dan orang setempat juga sempat mengucapkan terima kasih kepada satu sama lain sebelum beredar.
Pada penghujung video, Max meluahkan bahawa kejadian ini merasa dekat dengannya kerana ayahnya juga merupakan seorang pengutip tin.
Max turut menyatakan harapannya agar orang ramai akan bertindak untuk terus membantu jika ternampak perkara seperti itu terjadi.
“Saya faham apa yang dilakukan, berkerja keras mengumpul tin untuk mendapatkan sejumlah wang yang sangat sedikit.
“Tiada siapa mahu buat kerja sebegitu, bagaimanapun dia (pengutip tin) terpaksa buat untuk mendapatkan wang.
“Sekiranya anda semua nampak situasi yang sama, bantulah mereka,” ujar Max.
Sumber: The Vocket
