“Setiap peruntukan atau sumbangan yang diberikan oleh kerajaan di peringkat negeri, bukanlah bertujuan untuk ‘beli undi’ atau rasuah tetapi ia demi kebaikan rakyat” kata Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.
Sebarang peruntukan atau sumbangan yang diumumkan oleh Perdana Menteri dibuat berdasarkan kepada batasan kewangan dan bajet kerajaan yang telah diluluskan.
“Mengumumkan peruntukan ke tempat yang perdana menteri pergi, kepada negeri-negeri baik di negeri pembangkang atau negeri di bawah pimpinan kerajaan Persekutuan… kalau ia projek untuk tingkatkan taraf hidup rakyat, tingkatkan pembangunan negeri, dan memenuhi keperluan rakyat, apakah itu rasuah?
“Rasuah ni bila anda beri sesuatu dan harapkan pulangan semula dalam bentuk undi. Orang nak pergi mengundi, anda bagi duit untuk undi parti berkenaan, itu baru namanya rasuah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Ikon MADANI peringkat negeri Terengganu di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini, hari ini.
Misalnya, perdana menteri baru-baru ini mengumumkan di Kelantan pelbagai inisiatif untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat di negeri itu termasuk berkaitan isu tebatan banjir dan bekalan air bersih yang saban tahun berlarutan.
“Kami di J-KOM akan giatkan lagi aktiviti dan bergerak ke hadapan dan saya sendiri akan keluar memberi penerangan tentang dasar kerajaan dan apa itu Malaysia MADANI,” katanya
Beberapa pengumuman tentang peruntukan projek dan sumbangan dibuat sewaktu siri jelajah Rumah Terbuka MADANI telah mengundang kritikan. Segelintir pihak di media sosial yang melihat tindakan ahli Parlimen Tambun itu tersasar daripada prinsipnya sebelum menjawat jawatan tertinggi kepimpinan negara ini.
SAjuran bersama antara J-KOM dan Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN), Jelajah Ikon MADANI yang berperanan menjelaskan serta mempertahankan dasar kerajaan, selain menghubungkan kerajaan dengan mahasiswa dan rakyat.
Selepas Universiti Teknologi MARA (UiTM) Rembau, Negeri Sembilan dan Universiti Malaysia Kelantan. UMT merupakan universiti awam ketiga dikunjungi Jelajah Ikon MADANI.
Siri jelajah itu selepas ini dijadualkan akan menuju ke Universiti Utara Malaysia di Kedah, disusuli UiTM Permatang Pauh, Pulau Pinang sebelum berakhir di UiTM Shah Alam, Selangor.
