KUALA SELANGOR : Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan peruntukan sebanyak RM10,000 kepada semua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di setiap kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di negara ini.
Beliau berkata, peruntukan itu bertujuan memudahkan MPP berinteraksi dengan mahasiswa serta menjalankan aktiviti berfaedah.
“Peruntukan itu akan disalurkan dalam masa terdekat dan penambahan kepada jumlah itu akan diberi pada hujung tahun ini, mengikut garis panduan yang akan ditetapkan nanti” katanya.
Berhubung garis panduan ditetapkan, Ahmad Zahid menegaskan ia bertujuan menangani masalah dalam kalangan pelajar terutamanya yang datang dari keluarga tidak berkemampuan.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata beliau sedia untuk bertemu dengan semua perwakilan MPP dari semua kampus universiti itu untuk berbincang mengenai keperluan yang dikehendaki para mahasiswa.
“Saya tahu banyak lagi keperluan saudara-saudari, bukan sahaja bas tapi banyak lagi.. saya tahu sebab saya juga pernah hadapi masalah yang sama (ketika menjadi mahasiswa).
“Hantar sahaja semua Yang Dipertua MPP dari seluruh kampus, insya-Allah saya akan dengar (masalah pelajar UiTM),”
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Riang Raya MPP UiTM bersama Timbalan Perdana Menteri di Dewan Berlian di UiTM Puncak Alam.
Pada masa yang sama, Ahmad Zahid turut menasihati para pelajar untuk menyuarakan pandangan melalui saluran yang betul kerana zaman kerajaan yang serba tahu dan sentiasa betul telah berlalu.
Katanya generasi hari ini adalah peserta penting di gelanggang tranformasi terhadap negara dengan melontarkan pandangan, keyakinan atau penilaian mereka terhadap kejayaan kerajaan melalui sistem pilihan raya.
Sumber : AWANI
