KYIV, Ukraine – Presiden Volodymyr Zelensky berkata 43 orang maut susulan bedilan hampir 40 peluru berpandu yang menyasarkan beberapa bandar di seluruh negara itu, awal pagi kelmarin.
Rentetan itu, beliau mengumumkan hari berkabung di ibu negara dengan bendera dikibarkan separuh tiang manakala acara hiburan ditangguhkan ketika pasukan penyelamat bekerja di hospital pediatrik Okhmatdyt.
Zelensky berkata kerja menyelamatkan mangsa masih diteruskan di beberapa lokasi serangan dan pesakit dari Okhmatdyt dipindahkan ke kemudahan kesihatan lain.
“Kita akan membaiki Okhmatdyt,” katanya.
Beliau juga mendesak sekutunya untuk memperkukuh sistem pertahanan udara Ukraine, selain akan mengulangi gesaan itu selepas tiba di Washington untuk sidang kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
“Kami sedang dan akan sentiasa melakukan segala-galanya untuk memastikan pengganas Russia kalah,” kayanya dalam rakaman video, selain menjelaskan beliau akan meminta lebih banyak pesawat pejuang dan jaminan keselamatan tambahan daripada sekutunya ketika pertemuan berkenaan.
Ketika hari berkabung berlangsung semalam, petugas keselamatan dilihat membersihkan serpihan susulan serangan Russia yang merosakkan hospital kanak-kanak di sini dan mencetuskan kecaman antarabangsa.
Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri berkata, misi pencarian mangsa terselamat di hospital terbabit sudah selesai, selain menjelaskan dua terbunuh manakala 32 lagi cedera dan lapan kanak-kanak dimasukkan ke hospital.
“Seramai 627 kanak-kanak dirawat di hospital berkenaan ketika serangan dilakukan,” kata pihak berkuasa tentera di sini.
SUMBER : BERITA HARIAN

