Menjelang Mac 2024, Rang Undang-Undang (RUU) penubuhan Majlis Media Malaysia (MMC) dijangka dibentangkan di Parlimen menurut Fahmi Fadzil.
Beliau berkata setakat ini proses itu memerlukan memorandum untuk dikemukakan kepada Kabinet.
“Kami perlu melalui proses itu terlebih dahulu, kemudian melalui Pejabat Peguam Negara dan seterusnya ke Parlimen.
“Kami berharap sebelum penghujung tahun, sama ada dalam sesi Oktober atau sesi Februari atau Mac 2024, RUU itu boleh dibentangkan,” katanya kepada media selepas perjumpaan bulanan kementerian itu, di sini hari ini.
Menurut Fahmi, kerajaan sedang melihat beberapa RUU berkaitan media, termasuklah draf RUU untuk penubuhan MMC berkenaan kebebasan akhbar di negara ini.
Mengenai insiden kebocoran data yang dilapor melibatkan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) telah pun berhubung dengan universiti itu untuk memberikan keterangan.
“Saya difahamkan sepatutnya hari ini maklumat itu disampaikan kepada JPDP. Setakat ini saya belum terima apa-apa maklumat terkini, tetapi saya harap kita dapat kenal pasti apa yang berlaku dan mengelakkannya daripada berulang,” katanya.
Keutamaan perlu diutamakan kepada pindaan Akta Perlindungan Data Peribadi bagi memastikan pemegang data memahami aspek penyimpan data, pengurusan data agar dilakukan dengan lebih teliti dan teratur pada masa akan datang.
