KOTA KINABALU: Keputusan kerajaan Persekutuan Sabah untuk memberi subsidi sebanyak RM950 bagi setiap tan metrik beras putih import (BPI) kepada Sabah dan Sarawak mulai esok (5 Oktober), sebagai satu langkah yang efektif dalam mengatasi isu harga dan bekalan beras di kedua-dua negeri itu.
Menyambut baik inisiatif tersebut, David Chan, Presiden Persatuan Pengguna Bijaksana Pantai Barat Sabah itu berkata, perkara ini juga merupakan berita baik untuk para pengguna dalam kalangan B40 dan pengusaha makanan di Sabah yang sekaligus dapat membantu pengurangan beban kos sara hidup yang menjadi permasalahan pada ketika ini.
David menjelaskan lagi bahawa kenaikan harga beras akan mempengaruhi kos sara hidup secara keseluruhan, kerana beras adalah antara barang keperluan asas untuk setiap isi rumah. Namun begitu, David menggesa orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan isu bekalan beras bagi mengelakkan kekecohan.

Langkah pemberian subsidi itu akan membolehkan BPI diperoleh dengan harga runcit sejumlah RM31 bagi setiap 10 kilogram beras. Tindakan tersebut juga diambil atas sebab pengeluaran beras putih tempatan di Sabah dan Sarawak yang terhad, jelas Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu ketika dihubungi oleh Bernama.
Inisiatif subsidi ini merupakan antara empat langkah intervensi tambahan yang telah dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menangani isu bekalan beras dalam negara, di samping mengarahkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan untuk meningkatkan pengedaran beras putih tempatan ke luar bandar.
Dalam pada itu, Setiausaha Negeri Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Sabah, Anna Liew berkata, usaha kerajaan untuk memberi subsidi itu amat dihargai, namun keberkesanan pelaksanaannya dalam kalangan peniaga dan para pengguna juga perlu diberikan perhatian dalam memastikan tidak ada peniaga atau pengguna yang mengambil kesempatan terhadap inisiatif tersebut.
Kebanyakan penduduk Sabah menyambut baik inisiatif ini dan menyifatkannya sebagai bukti keprihatinan pihak kerajaan dalam memastikan bekalan beras sentiasa ada di pasaran pada harga berpatutan.
