moral

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa ahli politik atau pekerja kerajaan yang menerima beberapa pencen sepatutnya mempertimbangkan tanggungjawab moral mereka dengan memilih hanya satu pencen dan menolak yang lain.

Beliau mencatatkan bahawa terdapat bekas menteri, menteri besar, dan pegawai kerajaan yang menerima tiga hingga empat pencen, dan menekankan pentingnya aspek moral dalam memutuskan perkara ini.

Anwar menyuarakan pandangannya ini selepas kenyataan Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), yang menyokong bayaran bulanan kepada bekas wakil rakyat serta penerusan skim pencen penjawat awam.

Bagi Anwar, sebarang usaha untuk memansuhkan pencen wakil rakyat dan menteri akan memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau menegaskan bahawa Perlembagaan tidak membenarkan pembatalan perjanjian sedia ada, tetapi mencadangkan pendekatan baru dengan memperkenalkan peraturan yang berkuat kuasa untuk jawatan-jawatan baharu.

Ini, menurutnya, melibatkan beberapa pindaan undang-undang yang akan dibentangkan di Jemaah Menteri dan Parlimen.

Kenyataan beliau tersebut diucapkan kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Jubli Intan Ulang Tahun ke-60 Zoo Negara disini, hari ini.

Reaksi Anwar terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berkenaan isu negara haram Israel dituduh melakukan genosid oleh Afrika Selatan

Anwar memberikan ulasan mengenai keputusan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Jumaat, menyatakan bahawa walaupun keputusan tersebut tidak secara penuh mendukung penduduk Palestin, namun terdapat pandangan yang jelas daripada ICJ mengenai konflik yang berlarutan tersebut.

“Meskipun keputusan ICJ tidak memihak sepenuhnya kepada penduduk Palestin, namun setidaknya ia menegaskan pendirian menentang serangan dan menyeru agar serangan dihentikan serta bantuan kemanusiaan disegerakan,” ujarnya.

ICJ pada Jumaat telah memerintahkan Israel untuk mengambil langkah-langkah yang diperlukan guna mencegah tindakan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, walaupun tanpa arahan gencatan senjata.

Anwar menekankan bahawa Malaysia tetap kukuh dalam pendiriannya untuk mengutuk serangan tersebut, dan akan terus memantau perkembangan situasi, sejajar dengan pandangan yang diutarakan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, dalam Debat Terbuka Peringkat Menteri di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

SUMBER – BERNAMA, AWANI