aidilfitri

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berhasrat untuk membuat sebarang majlis sambutan Aidilfitri di kediaman rasminya di Seri Perdana tahun ini, sebaliknya hanya mahu mengikuti sambutan anjuran kementerian di negeri-negeri.

Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan mengatakan kerajaan harus mengamalkan langkah berjimat cermat, dan beliau mahu tindakan tersebut diikuti dan dicontohi oleh agensi-agensi kerajaan yang lain.

Pada masa yang sama, beliau menggesa setiap agensi dan kementerian terutamanya Kementerian Kewangan supaya tidak bermegah dalam mengadakan majlis sambutan Aidilfitri yang bakal diraikan tidak lama lagi.

“Janganlah bersaing siapa lebih megah… bukan duit kamu pun,” beliau berkata ketika berucap pada perhimpunan warga Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

  • aidilfitri
  • aidilfitri
  • aidilfitri
  • aidilfitri
  • aidilfitri

Sementara itu Anwar berkata keputusan kerajaan memberikan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri kepada penjawat awam dibuat selepas mengambil kira kos sara hidup yang diakui sedikit meningkat ketika ini, selain memenuhi keperluan untuk menyambut Aidilfitri.

ARTIKEL BERKAITAN – DISINI

“Malam (Ahad) saya fikir (mengenai BKK itu) dan nak tidur pun terganggu. Jadi saya fikir bagi jelah sikit kurang-kurang reda sikit (beban) dan kerja pun semangat. Harap kita belanja dengan cermat dan berhemat.” ujar Anwar.

Beliau mengakui bahawa bantuan RM 2,000 kepada penjawat awam bulan lepas tidak dapat menampung keperluan mereka yang sedia ada.

Beliau turut menambah kenyataan dengan mengatakan beliau sendiri melihat penjawat awam peringkat bawah mengeluh kerana kos sara hidup meningkat.

“Saya telah jelajah ke Sarawak, Pahang, Perak dan Perlis, saya lihat masih ada penjawat awam di peringkat bawah mengeluh kerana kos sara hidup yang meningkat sedikit,” katanya.

Semalam Anwar mengumumkan BKK Aidilfitri RM500 kepada penjawat awam Gred 56 ke bawah yang akan dibayar pada Jumaat ini, di samping BKK Aidilfitri RM250 kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta tidak berpencen.

Anwar seterusnya menggesa semua agensi, badan-badan berkanun kerajaan dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan untuk mengumumkan bantuan sama kepada pekerja mereka.

“Kalau boleh bagilah pertimbangan untuk ratusan ribu pekerja di bawah supaya mereka dapat habuan untuk meringankan beban bagi sambut Aidilfitri,” tambah Anwar.

SUMBER : BERNAMA