Tiada subsidi elektrik dan haji bagi golongan T20

KUALA LUMPUR :  Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa golongan berpendapatan tinggi atau T20 tidak lagi akan menerima manfaat subsidi yang diberikan kerajaan berkenaan tarif elektrik dan haji.

Perdana Menteri menegaskan, kerajaan tidak akan menaikkan kadar tarif elektrik bagi kumpulan B40.

“Pemberian subsidi bersasar jadi isu, Kita tidak menaikkan kadar elektrik melainkan kepada T20. Untuk T20 saja iaitu rumah besar, tidak akan diberi subsidi elektrik dan pangkalan data utama PADU akan dapat menyelaraskan semua.

Tambah beliau, Pangkalan Data Utama (PADU) akan mengurus dan menyelaras penilaian agihan subsidi kepada golongan yang layak.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tambun itu berkata, pelaksanaan ini akan dilaksanakan sama seperti yang dikenakan terhadap jemaah haji.

“Ini sama seperti haji. Bantuan kewangan haji kepada B40 kita tambah, tetapi kepada T20 tidak ada lagi tambahan dan subsidi dari kerajaan.

“Mereka (T20) harus tanggung kos sepenuhnya haji kerana mereka mampu,” katanya pada sesi soal jawab lisan pada hari pertama persidangan Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang ingin tahu dasar baharu dan drastik yang telah dilaksanakan semenjak memimpin Malaysia bagi melonjakkan ekonomi negara, dengan mengambil kira risiko penguncupan ekonomi dunia.