pahang

KUANTAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengutarakan harapannya agar Kementerian Ekonomi serta semua kementerian dan agensi yang terlibat dalam projek-projek utama di Pahang dapat memberikan perhatian yang lebih mendalam dan mempercepat pelaksanaan projek-projek tersebut.

Beliau menyatakan bahawa langkah ini penting untuk memastikan perancangan yang lancar serta pelaksanaan yang efisien bagi pembangunan projek-projek tersebut.

Projek-Projek ini merupakan inisiatif berimpak tinggi kepada rakyat khususnya warga Pahang dan mereka akan menikmati manfaatnya dalam jangka masa panjang,” – katanya dalam hantaran di Facebook, semalam.

  • pahang
  • pahang
  • pahang
  • pahang

Pada masa yang sama, Anwar mengadakan lawatan kerja sehari ke Pahang petang semalam di mana beliau mempengerusikan Taklimat Pembangunan Negeri Pahang. Taklimat tersebut dihadiri oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, serta ketua-ketua jabatan negeri.

Turut hadir dalam taklimat itu adalah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Datuk Johan Mahmood Merican.

Beliau memaklumkan bahawa dalam mesyuarat tersebut, pelbagai projek pembangunan dan perancangan bagi menaik taraf, membina infrastruktur, dan kemudahan rakyat Pahang telah dibentangkan dan dibincangkan. Projek-projek ini merangkumi aspek pengangkutan, utiliti, perumahan, kesihatan, dan pendidikan.

Antara projek yang dibincangkan termasuklah menaik taraf Jalan Pos Sinderut di Lipis, projek Bekalan Air Luar Bandar untuk Kampung Kuala Sat dan Kampung Pagi, serta kawasan Mukim Hulu Tembeling di Jerantut. Selain itu, turut dibincangkan ialah cadangan pembinaan persimpangan bertingkat Bukit Rangin, Jalan Kuantan-Chukai, serta menaik taraf lapangan terbang Pulau Tioman di Rompin dan pemanjangan landasan.

Selain itu, projek-projek lain termasuklah meroboh blok kuarters sedia ada dan membina blok baharu tambahan di Hospital Tengku Ampuan Afzan, menaik taraf Jalan Sungai Koyan (laluan Raub ke Sungai Koyan ke Ringlet) di Raub dan Lipis, serta pembinaan Kolej Komuniti Jelai di Lipis.

Sebelum sesi taklimat, Anwar menghadap Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdulaziz. Beliau kemudiannya mengadakan jelajah mesra di Bazar Ramadan Taman Kerang dan menghadiri Majlis Berbuka Puasa MADANI peringkat negeri Pahang di Masjid Tengku Ampuan Afzan, Indera Mahkota.

  • pahang
  • pahang
  • pahang
  • pahang
  • pahang

SUMBER : BERNAMA

Untuk membaca artikel mengenai Perdana Menteri, klik ; DI SINI