Ismail

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan ucapan takziah kepada Pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh atas kematian beberapa ahli keluarga akibat terlibat dalam serangan udara oleh rejim zionis negara haram Israel pada 10 April yang lalu.

Ucapan itu disampaikan Anwar ketika beliau menghubungi Ismail Haniyeh pada petang 11 April, selepas beliau mendapat berita yang duka mengenai kematian tiga anak Ismail Haniyeh iaitu Hazem, Amir dan Mohammad termasuk dengan empat orang cucu Ismail Haniyeh.

  • Ismail

“Saya mewakili seluruh rakyat Malaysia menyatakan solidariti yang tidak berbelah bahagi dan semangat kebersamaan yang tinggi bersama keluarga Ismail serta seluruh rakyat Palestin yang telah kehilangan keluarga tersayang”

“Kehilangan nyawa insan yang tidak berdosa, terutamanya kanak-kanak dalam suasana cukup tragik ini adalah amat sukar diterima oleh mana mana manusia”

Anwar berkata Malaysia terus konsisten mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kejam negara haram Israel yang berterusan membunuh warga Palestin yang tidak bersalah.

Anwar menyambung kenyataan beliau dengan berkata serangan jijik dan keji dari pihak zionis sudah terang lagi bersuluh membuktikan mereka tidak berkemahuan untuk melakukan gencatan senjata seperti yang dituntut oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan ini juga bukti bahawa mereka tidak mahu mematuhi prinsip hukum dan undang-undang antarabangsa. – BACA ARTIKEL BERKAITAN DI SINI

“Serangan kurang ajar oleh rejim pengecut Zionis Israel ini hanya melenyapkan sebarang harapan ke arah penyelesaian secara aman dengan prinsip kemanusiaan dan hak asasi manusia terus diinjak tanpa noktah.”

“Malaysia sekali lagi mendesak keras komuniti antarabangsa untuk bertindak tegas dan mempertanggungjawabkan rejim Zionis Israel atas kezaliman ini dan mesti bekerja untuk menjelmakan keamanan buat rakyat Palestin yang telah secara konsisten dinafikan sejak 75 tahun lampau,” katanya.

Semasa perbualan antara Anwar dan Ismail diteruskan, Ismail mengucapkan terima kasih atas sokongan dan solidariti rakyat Malaysia terhadap rakyat Palestin di Gaza.

Ismail Haniyeh juga menyifatkan serangan udara oleh rejim negara haram Israel berniat buruk kerana serangan itu dilakukan semasa sambutan Aidilfitri Mubarak.

Niat buruk itu yang dimaksudkan adalah niat buruk dari Perdana Menteri zionis itu sendiri iaitu Benjamin Netanyahu untuk meneruskan pembunuhan beramai ramai atau genosid di Gaza.

“Ini jelas membuktikan tingkah laku dan niat buruk Netanyahu, rejim jenayah Israel terhadap rakyat kami dan seperti yang dinyatakan, ini benar-benar pembunuhan beramai-ramai dan suatu tindakan kegilaan terhadap rakyat kami sejak enam bulan lalu.”

“Sekali lagi, kami berharap dapat menghentikan pencerobohan ini dan kami menghargai dan berterima kasih atas panggilan telefon saudara yang menunjukkan betapa kerajaan Malaysia dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong dan terkesan dengan penindasan terhadap saudara Islam di Palestin dan Gaza” ujarnya melalui penterjemah

SUMBER : BERNAMA, FACEBOOK