MALAYSIA mencatatkan pemulihan ekonomi yang kukuh pada 2024 sekali gus menandakan keyakinan pelabur dan pengguna yang semakin meningkat.
Pertumbuhan ini didorong oleh pelaburan yang mampan, peningkatan penggunaan domestik serta pemulihan sektor utama seperti perkhidmatan dan pembinaan.
Menurut Timbalan Dekan Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya, Dr. Goh Lim Thye, prestasi ekonomi negara bukan sekadar kesan pemulihan pasca pandemik tetapi juga bukti asas ekonomi yang semakin stabil.
“Pelaburan yang berkembang pesat, terutama dalam sektor swasta dan awam, menunjukkan keyakinan tinggi terhadap daya saing ekonomi Malaysia.
“Dasar kerajaan dalam pembangunan infrastruktur juga memainkan peranan penting dalam merangsang pertumbuhan,” katanya.
Sektor perkhidmatan, penyumbang terbesar kepada KDNK, terus berkembang dengan baik, disokong oleh peningkatan dalam perdagangan borong dan runcit, pengangkutan serta sektor kewangan.
Selain itu, sektor pembinaan juga mencatat pertumbuhan memberangsangkan, dipacu oleh projek pembangunan perumahan dan komersial.
“Peningkatan dalam sektor pembinaan bukan sahaja memberi manfaat kepada industri hartanah tetapi juga membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat,” tambah Dr. Goh.
Di samping itu, penggunaan domestik terus menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi. Peningkatan perbelanjaan pengguna dalam sektor pengangkutan, restoran, hotel serta makanan dan minuman mencerminkan keyakinan rakyat terhadap kestabilan ekonomi.
Tambah beliau, pemulihan eksport turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh ekonomi Malaysia.
Eksport barangan utama seperti elektrik dan elektronik, produk kimia serta minyak sawit mencatat pertumbuhan yang ketara sekali gus meningkatkan daya saing perdagangan antarabangsa negara.
Namun begitu, masih terdapat cabaran yang perlu ditangani.
Sektor pertanian misalnya mengalami sedikit kemerosotan, yang boleh menjejaskan pendapatan petani kecil.
Oleh itu, usaha perlu digiatkan bagi memastikan pertumbuhan yang lebih seimbang merangkumi semua sektor.
Dari segi kos sara hidup, kadar inflasi Malaysia kekal terkawal disebabkan langkah-langkah seperti subsidi bersasar dan bantuan tunai kepada golongan berpendapatan rendah.
“Dasar kawalan harga kerajaan berjaya menstabilkan harga barangan keperluan, tetapi dalam jangka panjang, kita perlu mengurangkan kebergantungan kepada import melalui pelaburan dalam sektor pertanian dan teknologi,” jelas Dr. Goh.
Bagi memastikan pertumbuhan ekonomi terus memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat, kerajaan disaran memperkukuh program kebajikan sosial serta meningkatkan pelaburan dalam pendidikan dan latihan vokasional.
“Malaysia berada pada landasan yang betul, tetapi cabaran global dan ketidaktentuan geopolitik perlu diberi perhatian agar pertumbuhan ekonomi yang mampan dapat dikekalkan,” katanya.
