KOREA SELATAN – Johor Darul Takzim (JDT) yang merupakan Juara Liga Super 2023 masih mencari rentak dan kemenangan kedua mereka dicuri oleh Ulsan Hyundai yang menghukum JDT sebanyak 3-1 pada aksi ketiga Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia (ACL) malam semalam.

Perlawanan tersebut dimainkan di Stadium Bolasepak Ulsan Munsu dan tuan rumah, Ulsan Hyundai mengambil peluang sepenuhnya prestasi JDT yang hambar diawal permainan dengan merembat 3 gol di dalam jaring pihak JDT.

Gol yang dijaringkan oleh Ketua Pasukan Jun Seung Hyun seawal minit ke-5 perlawanan merudumkan semangat JDT untuk menyerang kembali.

Seterusnya, dua gol ledakan penyerang dari Sweden, Gustav Ludwigson pada minit ke 12 dan 18 sudah cukup untuk menyukarkan JDT untuk menyerang apabila mereka hanya mampu bertahan dengan skor 3-0 pada separuh masa pertama.

Sebelum tamatnya separuh masa pertama, pemain pertahanan Ulsan Hyundai Kim Tae-Hwan mengutip kad kuning keduanya dalam perlawanan sekaligus menyebabkan beliau dilayangkan kad merah dan skuad kendalian Hong Myung Bo itu terpaksa meneruskan perlawanan dengan 10 pemain sahaja.

Selepas separuh masa kedua berlangsung, Bergson Da Silva akhirnya menembusi gol pihak lawan dengan bantuan Fernando Forestieri pada minit ke-53 dan ia membakar semangat JDT untuk kembali menyerang.

JDT pada akhir perlawanan mempunyai statistik yang lebih unggul berbanding Ulsan Hyundai, dengan mempunyai 59.4% posisi bola berbanding 40.6% namun ia tidak mencukupi untuk memberikan mereka kemenangan.

Kemenangan tersebut menyebabkan Ulsan Hyundai memintas JDT dalam kedudukan Kumpulan I selepas mengumpul enam mata, manakala JDT jatuh ke tempat ketiga dengan hanya mengumpul tiga mata susulan mereka hanya memenangi satu perlawanan menentang BG Pathum di Thailand pada 3 Oktober yang lalu.

Skuad kendalian Esteban Solari itu akan berhadapan dengan Ulsan Hyundai sekali lagi dalam perlawanan keempat mereka di Liga Juara-Juara Asia yang akan berlangsung pada 7 November 2023.

SUMBER : BERNAMA, BERITA HARIAN