LABUAN – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, menteri atau timbalan menteri berkaitan pembangunan sosioekonomi di Labuan diarahkan untuk membuat lawatan kerja ke Wilayah Persekutuan ini setiap minggu atau selang seminggu.
Beliau menambah, lawatan kerja oleh menteri-menteri atau timbalan menteri ini adalah bagi mencari jalan penyelesaian kepada pebagai isu rakyat dan ekonomi di pulau bebas cukai ini.
“Mesyuarat Jemaah Menteri baru-baru ini telah memutuskan menteri atau timbalan menteri mesti ke Labuan setiap minggu atau selang seminggu untuk menyelesaikan pelbagai permasalahan di Labuan,” katanya ketika berucap di Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri di Dewan Konvensyen Ujana Kewangan Labuan semalam.

Bagi penyelesaian jangka panjang gangguan bekalan elektrik di Labuan, beliau berkata Kerajaan Persekutuan bercadang supaya Petroliam Nasional Bhd (Petronas) untuk membangunkan janakuasa baharu bagi menyelesaikan isu berkenaan di pulau ini.
“Kita akan arahkan Petronas untuk membangunkan janakuasa yang baharu dengan kaedah laluan pantas bagi penyelesaian gangguan bekalan elektrik,” katanya lagi.
Anwar berkata, kerajaan lebih memberi keutamaan pemilihan pelaksanaan pembangunan janakuasa ini melalui sistem tender, namun melihat kepada keupayaan dan kredibiliti Petronas, ianya tidak akan menimbulkan keraguan seperti wujudnya isu komisyen atau kepentingan pihak-pihak tertentu.
Beliau menambah bahawa apabila sudah siap nanti, janakuasa baharu itu akan membantu kapasiti aliran kerja Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) yang kini adalah operator pengendali bekalan elektrik di Labuan.
Sementara itu, Anwar juga mengarahkan satu mesyuarat pihak berkuasa tempatan di sini diadakan pada minggu hadapan bagi mencari penyelesaian isu gangguan bekalan air dan elektrik.
Terdahulu, dalam laporan media yang lain pagi semalam, Anwar telah dijadual mengadakan lawatan sehari ke Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Anwar dijadual memulakan lawatan dengan Majlis Pecah Tanah Empangan Hidroelektrik Ulu Padas di Kampung Kungkular, Tenom yang turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Pada 25 Ogos lepas, Hajiji dilaporkan berkata, empangan hidroelektrik bernilai RM4 bilion di Ulu Padas akan dibina dan dijangka siap pada 2027 antara lain sebagai penyelesaian jangka panjang mengatasi masalah kekurangan bekalan air di negeri itu.
Perdana Menteri kemudian dijadual menghadiri Majlis Perasmian Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan (HPPK 2023) di Dataran Buhavan Square, Penampang yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.
Pada Isnin lepas, Ewon dilaporkan berkata seramai 50,000 pengunjung dijangka mengunjungi karnival yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini menampilkan pelbagai aktiviti seperti Jualan Rahmah, persembahan artis tempatan dan jualan daripada usahawan di negeri ini.
Anwar kemudian dijadual melawat Wilayah Persekutuan Labuan pada sebelah petang dengan menghadiri majlis Menyantuni Ketua Isi Rumah Miskin Tegar Wilayah Persekutuan Labuan di Kompleks Ujana Kewangan.
Di lokasi sama kemudian Perdana Menteri akan menyampaikan amanat pada Majlis Amanat Perdana Menteri Bersama Komuniti Wilayah Persekutuan Labuan sebelum menghadiri Majlis Makan Malam di Labuan Ballroom, Dorsett Grand Labuan.
Anwar kemudian dijadual bertolak balik ke Kuala Lumpur.
Sumber: BERNAMA, Astro Awani
