KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengecam keras dengan menyatakan kenyataan beberapa pihak yang mempertikaikan usaha kerajaan dalam membawa rakyat Palestin yang cedera ke Malaysia untuk mendapatkan rawatan itu adalah biadab.
Beliau menyatakan bahawa kenyataan yang dibuat oleh individu-individu tersebut adalah biadab dan menunjukkan ketidakfahaman mereka terhadap nilai-nilai kemanusiaan.
Anwar berkongsi bahawa beliau merasa perlu untuk membalas satu hantaran daripada seorang individu yang mengatakan ‘kalau bawa rakyat Palestin, jangan jejak bumi Sarawak’.
“Semalam saya berada di Kuching, Sarawak, untuk penutupan Sukan Malaysia (Sukma), dan saya sangat tersentuh untuk menjawab satu kenyataan daripada seorang individu yang mengatakan ‘kalau bawa rakyat Palestin, jangan jejak bumi Sarawak’,” – kata Anwar ketika berucap pada Majlis Perasmian Muktamar Masjid Se-Malaysia untuk Al-Aqsa dan Palestin, bersempena Sambutan Hari Masjid Sedunia 2024 di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, semalam.
Terdahulu, seorang pemimpin NGO dari Sarawak telah memuat naik kenyataan di Facebooknya, mempertikaikan tindakan kerajaan membawa rakyat Palestin yang cedera ke Malaysia untuk rawatan.
Anwar menegaskan bahawa individu seperti ini tidak memahami isu kemanusiaan yang sebenar.
“Di mana letaknya nilai kemanusiaan sehingga sentimen kaum atau wilayah menjadi punca sikap sedemikian? Mujurlah suara-suara ini hanya segelintir, dan kita tidak boleh membiarkan ia berkembang kerana jika dibiarkan, ia akan menjadi barah dalam masyarakat,” ujar Anwar.
SUMBER : BERNAMA
