PM Anwar Tiba Di Jepun Untuk Lawatan Kerja 5 Hari

TOKYO – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini pada Jumaat malam untuk lawatan kerja selama lima hari.

Pesawat khas yang membawa Anwar dari Kuala Lumpur telah mendarat di Lapang Terbang Antarabangsa Haneda Tokyo pada pukul 11.40 malam waktu tempatan. Beliau turut disertai isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sebaik sahaja turun dari pesawat, Anwar dan Dr Wan Azizah diberi sambutan hamparan permaidani merah. Mereka disambut oleh Duta Besar Malaysia Ke Jepun Datuk Shahril Effendi Abd Ghany dan di pihak Jepun pula diwakili oleh Naib Menteri Luar Yasushi Hosaka.

Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri dan isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mendarat di Lapangan Antarabangsa Haneda Tokyo pada jam 11.40 malam waktu tempatan – Sumber FOTO Facebook PMO

Anwar turut diiringi oleh dua menteri kabinet iaitu Menteri Luar yang baru dilantik, Datuk Seri Mohamad Hasan, dan Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Pada Sabtu (hari ini), Anwar akan mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawat dari Jepun, Fumio Kishida, dan disusuli perjumpaan dengan ketua-ketua eksekutif syarikat korporat gergasi dan pemimpin-pemimpin insdustri.

Pada Ahad, Anwar akan menyertai rakan sejawatnya dari ASEAN – antaranya Presiden Indonesia Joko Widodo, Srettha Thavisin dari Thailand, Lee Hsien Loong dari Singapura, Pham Minh Chinh dari Vietnam, Hun Manet dari Kemboja, dan Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr – di Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN – Jepun.

Sidang Kemuncak itu menandakan ulang tahun ke-50 Persahabatan dan KErjasam ASEAN – Jepun yang menekankan hubungan strategik antara Jepun dan sebahagian besar ASia Tenggara yang diwakili oleh ASEAN.

Pada Isnin, Anwar akan menghadiri Sidang Kemuncak Komuniti Sifar Emisi Asia dan bertemu dengan diaspora Malaysia pada sebelah petang sebelum mengakhiri lawatannya.

Sumber: BERNAMA

Comments are closed.