SUBANG – Presiden Terpilih merangkap Menteri Pertahanan Prabowo Subianto tiba di sini pada Rabu malam bagi memulakan lawatan khas sehari beliau ke Malaysia hari ini.
Pesawat khas yang membawa Prabowo bersama delegasi telah selamat mendarat di Pangkalan Tentera Udara Malaysia di sini pada 10.15 malam pada Rabu.
Ketibaan beliau disambut baik oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Ini merupakan lawatan pertama Prabowo ke Malaysia selepas diumum sebagai pemenang rasmi Pemilihan Presiden Indonesia bagi penggal 2024 – 2029.
Beliau dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Perdana Putra, Putrajaya dan menghadiri mesyuarat tertutup bersama Menteri Pertahanan di Kuala Lumpur.
Sumber: BERNAMA



