SUNGAI SIPUT – Seorang wanita terkejut apabila mendapati kucing peliharaannya yang hilang selama dua hari di rumah ibu bapanya di Kampung Tersusun Salak, Salak Baru, sebenarnya telah menjadi mangsa harimau akar.
Kejadian ini terbongkar apabila Nurul Balqis Musa, 30, memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah keluarganya pada Isnin minggu lepas.
Menurut Nurul Balqis, sebelum kejadian itu, jiran-jirannya ada memaklumkan tentang kehilangan tiga ekor kucing peliharaan secara serentak. Namun, dia hanya menyangka bahawa kehilangan tersebut adalah perkara biasa.
Namun, kehilangan kucing betina kesayangannya yang diberi nama Petra dirasakannya agak aneh. Ini kerana Petra adalah kucing yang jinak dan jarang merayau jauh dari rumah. Selain itu, dia turut mendapati terdapat kesan najis kucing bertebaran di perkarangan rumah pada hari Petra dipercayai hilang.
“Saya tinggal di Ipoh, tetapi saya tinggalkan Petra di rumah ibu kerana saya sering bekerja di luar kawasan dan hanya pulang ke kampung pada hujung minggu. Dua hari selepas Petra hilang, barulah saya terfikir untuk memeriksa CCTV.
“Saya sangat terkejut apabila melihat rakaman yang menunjukkan Petra dibaham oleh harimau akar yang dianggarkan sebesar kambing dewasa, kira-kira jam 3 pagi. Petra adalah kucing kesayangan saya, walaupun dia kini sudah dianggap sebagai ‘kucing kampung’ kerana ibu dan ayah turut membela lapan ekor kucing di rumah itu,” ujarnya.
Susulan kejadian ini, Nurul Balqis berkata penduduk kampung kini berasa bimbang dan dia sendiri telah membuat laporan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Pengarah PERHILITAN Perak, Yusoff Shariff, mengesahkan bahawa pihaknya telah menerima laporan berkenaan dan telah mengarahkan kakitangan mereka ke lokasi untuk menyiasat.
“Kami akan memasang perangkap dan menasihatkan pengadu supaya mengurung semua binatang ternakan atau peliharaan lain, jika ada,” katanya.
SUMBER : BERITA HARIAN

