MELBOURNE – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, menyatakan bahawa Malaysia dan Australia boleh memperkukuhkan hubungan dan kerjasama dua hala antara mereka dengan meneroka pelbagai bidang seperti tenaga yang boleh diperbaharui, teknologi hijau, digital serta keterjaminan makanan.
Beliau turut berkata bahawa hubungan dua hala ini adalah penting kerana Australia lebih maju dalam bidang terbabit.
“Ini adalah sesuatu yang amat diperlukan oleh kebanyakan negara termasuk Malaysia,” katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese di sini sempena lawatan rasmi beliau ke Australia.
Pendidikan masih kekal menjadi keutamaan dala meneroka kerjasama selanjutnya dalam hubungan Malaysia dan Australia, ujar Anwar.
“Pendidikan tetap menjadi keutamaan, peluang untuk pelajar datang ke negara ini, melanjutkan pengajian di sini seperti yang telah saya katakan kita telah mendapat manfaat daripada langkah itu manakala hasrat banyak institusi pengajian tinggi dan universiti Australia untuk mewujudkan kampus di Malaysia amat kita alu-alukan,”tambahnya lagi.
Anwar menyambung kenyataan beliau dengan berkata, penerokaan bidang dalam hubungan dua hala antara Malaysia dan Australia adalah menjadi tanggungjawab serta komitmen kerajaan Malaysia untuk mempercepatkan dan memudahkan proses tersebut.
Malaysia dan Australia sudah memasuki fasa baharu dalam kerangka Perkongsian Strategik Komprehensif, Anwar berkata kedua-dua negeri mempunyai kata sepakat dengan usaha pelbagai pegawai kerajaan serta kementerian yang berkaitan dalam isu membabitkan perdagangan dan pelaburan, pendidikan, sukan, ekonomi digital serta keselamatan siber.
“Kami juga mengambil peluang untuk terus memperkukuh pertumbuhan perdagangan dua hala kerana Australia kekal sebagai rakan dagang ke-10 terbesar kami dan minat pelabur serta syarikat Australia terhadap Malaysia nampaknya semakin berkembang.”
“Ini membuktikan keyakinan mereka terhadap Malaysia dan saya sekali lagi harus menzahirkan ucapan terima kasih,” katanya sambil menambah kedua-dua negara turut mengulangi komitmen untuk mempergiat kerjasama sedia ada termasuk dalam beberapa bidang khusus seperti ekosistem vaksin dan peralihan tenaga bersih.” tambahnya lagi.
EMPAT MoU TERMETERAI ANTARA
MALAYSIA – AUSTRALIA
Malaysia dan Australia memeterai empat Memorandum Persefahaman (MoU) di sini pada hari Isnin, semalam dalam rangka lawatan rasmi Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Australia.
Dua daripada MoU itu ialah Pengaturan Praktikal di antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Australia untuk Kerjasama dalam Bidang Sains dan Teknologi dan Aplikasi untuk Pelaksanaan Perjanjian Pengharaman Ujian Nuklear Komprehensif (CTBT) serta Keselamatan Siber dan Teknologi Kritikal.
Dua lagi MoU yang boleh diperbaharui ialah kerjasama dalam bidang sukan dan kolaborasi dalam sektor pendidikan tinggi.
Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Luar Australia, Penny Wong masing-masing bertukar-tukar dokumen selepas selesai Mesyuarat Pemimpin Tahunan Malaysia-Australia di Government House, Victoria yang disaksikan oleh Perdana Menteri masing-masing, iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Anthony Albanese.
“Keempat-empat MoU sememangnya satu pencapaian penting dalam merencanakan satu masa hadapan yang progresif dan mereka (MoU) membuktikan hasil dan kejayaan yang bermakna daripada mesyuarat kami,” kata Anwar dalam sidang media bersama Albanese.
Untuk info tambahan, Anwar selamat sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Melbourne Jet Base kira-kira 10.40 malam waktu tempatan (7.40 malam waktu Malaysia). – DISINI
SUMBER : BERNAMA

